Cerita Menarik Upin & Ipin
Posted by shinjeixi on October 26, 2007
Ini satu animasi menarik yang boleh kita kongsi bersama..betul tak?..betul..betul..betul..hanya ada 6 episod sahaja. selamat menonton..harapan semoga sesiapa yang mempunyai kebolehan untuk menghasilkan animasi sebegini gunakan kebolehan yang ada sebaik mungkin untuk jalan Dakwah. Cuma mungkin ada komentar juga untuk siri animasi ini. Harap boleh kita kongsi bersama.
Episod 1- 6
Episod 5 – 6
Episod 4
Episod 3
Episod 2
Episod 1
Adi Hanif Mohamed said
Upin & Ipin catat sejarah pada KLIFF 2007
FESTIVAL Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2007) menyaksikan filem Upin & Ipin mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai Filem Animasi Terbaik pada Malam Perasmian Pembukaan festival itu yang berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor, malam kelmarin.
Filem arahan Mohd. Nizam Razak itu menewaskan empat lagi filem animasi hebat berjudul A Garota dari Brazil, Legend Of The Sea (Singapura), Mah Boud-o-Roubah (Iran) dan Roozi Kalaaghi (Iran), sekali gus muncul filem animasi tempatan pertama memenangi anugerah pada festival itu.
Bagi kategori Filem Dokumentari Terbaik dimenangi oleh filem berjudul 4 dari Australia arahan Tim Slade yang menewaskan empat lagi filem dokumentari berjudul Ginga-a Alma Do Futebol dari Brazil, Laya Project (India), Miss Navajo (Amerika Syarikat) dan Memoir of A Tragedy (Malaysia).
Sementara itu, bagi kategori Filem Pendek pula dimenangi oleh filem Wind dari Singapura/Australia arahan Aaron Wilson yang turut menewaskan empat lagi pesaingnya iaitu Cubed dari Kanada, Going Home (Amerika Syarikat), Colours (Singapura) dan Hasrat (Malaysia).
Setiap pemenang menerima hadiah berupa trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Tan Sri Jins Shamsudin dan Pengerusi KLIFF Sdn. Bhd., Datuk Ab. Rauf Yusoh.
KLIFF 2007 dianjurkan oleh KeKKWa, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama KLIFF Sdn. Bhd.
Peranan
Menurut Dr. Rais, KLIFF 2007 yang bertemakan Raikan Kepelbagaian Budaya itu diharap dapat mengangkat fungsi dan peranan filem dalam menyumbang kepada kemakmuran negara.
“Festival filem ini merupakan suatu gagasan untuk dicapai demi kemajuan kita pada masa akan datang. Festival ini menampakkan kemampuan kita untuk bermasyarakat dengan negara-negara lain melalui filem.
“Apa yang penting kita mahu tonjolkan filem sebagai jurusan budaya yang boleh membawa nikmat dan kemakmuran di tanah air kita kerana filem boleh dijadikan sebagai cermin dalam kehidupan,” katanya sewaktu merasmikan festival filem tersebut.
Festival filem bertaraf antarabangsa yang pertama kalinya diadakan di sini itu mempertandingkan filem-filem pendek, cereka, animasi dan dokumentari dari benua Asia, Amerika Utara, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan.
Sebanyak 168 filem cereka telah menghantar pencalonan di mana 22 daripadanya telah disenarai pendek bagi bersaing pada KLIFF 2007.
Selain tiga kategori itu, kategori-kategori lain seperti Filem Asia Terbaik Terbaik, Filem Eropah Terbaik, Filem Afrika Terbaik, Filem Amerika Utara Terbaik dan Filem Amerika Selatan Terbaik akan diumumkan pada malam kemuncak KLIFF 2007 yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 2 Disember ini pukul 9 malam.
Filem 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba mewakili negara bagi kategori Filem Cereka dalam kategori benua Asia.
Hadiah utama yang akan diumumkan pada Malam Kemuncak KLIFF 2007 itu ialah Anugerah Perdana (Filem Keseluruhan Terbaik) yang akan meraih hadiah wang tunai AS$10,000 (RM38,000), trofi dan sijil.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, duta-duta asing dan para karyawan filem dari dalam serta luar negara.